
Persatuan Pengusaha Logam dan Barang-Barang Kitar Semula India Malaysia (Mimta) meminta kerajaan memberi kelulusan untuk membawa masuk pekerja asing bagi subsektor logam, barang lusuh dan kitar semula.
Presidennya, P Krishna Murthi berkata sektor itu kini memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja asing.
“Ketiadaan pekerja asing memberi kesan besar kepada sektor ini, ramai pengusaha telah mula meninggalkan sektor ini.
“Ini kerana mereka mula menghadapi kesan pendapatan kerana kekurangan tenaga kerja. Untuk memulihkan semula industri ini, kami memerlukan 10,000 pekerja asing.
“Harap, kerajaan segera menghapuskan pembekuan pekerja asing untuk industri kita,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.
Untuk rekod, pengambilan pekerja asing untuk subsektor itu telah dibekukan sejak 2009.